Wednesday, June 15, 2011

Antara rokok, hati & keluarga


"Kendi berukir dari mantin,
dibawa berdagang menuju hala,
bila bidaah menjadi rutin,
yang sedia haram di buat juga"

_______________________________

Assalamualaikum W.B.T.

Pertamanya tiada tanggapan dari pihak saya bahawa yang perokok adalah orang yang tidak baik. Hakikatnya saya dikelilingi oleh rakan taulan yang sememangnya perokok dan mereka adalah orang yang baik-baik. Cuma yang menjadi kebimbangan sebagai teman adalah apabila memikirkan satu hari nanti mungkin akan melawat ahli keluarga kawan-kawan saya ini di hospital akibat menjadi perokok pasif yakni; mereka yang menghidu asap yang dihembus oleh perokok itu.

Sebetulnya bapa saya juga adalah seorang perokok, namun mungkin oleh sebab kata-kata ibu saya membuatkan dia mengalah dan terus berhenti merokok semenjak saya berumur 9 tahun lagi (tidak diketahui pula jika dia merokok di belakang kami senyap-senyap). Ketika saya di sekolah menengah dan tinggal di asrama, bapa awal-awal lagi sudah memberi amaran;

"Kalau aku dengar kau hisap rokok kat sekolah, balik rumah mampus aku kerjakan."

Bila berbapakan seorang bapa yang merupakan seorang askar, memang tidak lari dengan rejim hidup penuh disiplin dan ketegasan. Namun kata-kata di atas yang mungkin kasar pada kebanyakan orang adalah kasih sayang dan prihatin pada saya kerana saya dibesarkan dengan kata-kata seperti ini sewaktu kecil dan kata-kata itu telah berjaya membuatkan saya menjadi seorang yang boleh diharapkan malah memang tidak pernah menghisap rokok!

Orang yang merokok biasanya lebih lama hidup dari yang tidak menghisap rokok. Perokok pasif pula berisiko 3 kali ganda untuk mendapat penyakit kanser berbanding perokok tegar! Mengikut banyak penyelidikan, asap yang dihirup oleh perokok pasif mengandungi dua kali ganda nikotin, tiga kali ganda tar, lima kali ganda karbon monoksida dan 50 kali ganda kimia berbahaya berbanding yang disedut perokok aktif. Kelebihan buat si perokok namun berita malang bagi yang bukan merokok.

Pernah saya menanyakan kepada seorang teman bila dia akan berhenti merokok, jawapannya membuatkan saya tersengih pula;

"sekarang memang aku da benti isap rokok, tapi pas ko blah ni aku sambung la."

Ada sekali bila lepak bersama teman-teman, ada yang membawa teman wanita masing-masing, tanpa segan silu merokok depan teman wanita mereka yang dari tadi selamba je walhal saya sendiri tidak tahan dengan bau asap rokok itu. Terdetik pula dalam hati saya;

"Nasib koranglah labu dapat pakwe heavy smoker, gamaknye kalo kawen, sampai tua la ko hidup sedut asap ni."

Jika anda diluar sana mempunyai pengalaman yang sama, jangan berhenti nasihat dan berdoa agar teman-teman anda akan berhenti merokok satu hari nanti. Dosa berbakul usah ditambah berbakul-bakul lagi. Jika tidak sayangkan nyawa, ingatlah orang yang sayangkan diri anda. Bukan sahaja duit tidak terbazir, kesihatan juga semakin meningkat setelah berhenti merokok.
Anda masih punya hati, maka jangan biarkan orang disekeliling menanggung akibat asap rokok yang anda hembus.

p/s: mudah menasihati mereka yang merokok dari menasihati mereka yang kuat mabuk.

Tuesday, June 14, 2011

Ambil salah, tak ambil, sakit!



"Pergi memburu sampai ke sempadan,
dapat kancil badan berjalur,
biar carik baju di badan,
asalkan hati bersih dan jujur."

_____________________________________

Assalamualaikum W.B.T.

Sepertinya sekarang ini adalah musim rasuah dimana sering terpapar di dada media perdana akan berita mengenai perilaku keji ini di pelbagai lapangan bidang seperti sukan, politik, pekerjaan dan lain-lain yang boleh dianggap satu kanser yang semakin sinonim dengan masyarakat Malaysia. Banyak buah fikiran yang dilontarkan oleh pemikir-pemikir mengenai mengapa berlakunya gejala ini di kalangan rakyat Malaysia yang kadang kala kita lihat tidak logik kerana ada penerima rasuah adalah dari golongan yang berpendapatan tinggi!

Pada hemat saya, gejala ini berpunca dari kurangnya sifat integriti diri dan mungkin juga kejahilan diri tentang ilmu agama. Namun ada juga faktor lain yang benar-benar memeranjatkan saya apabila diberitahu sendiri oleh seorang kenalan yang pernah terlibat dalam gejala ini. Sebetulnya, saya dan kenalan ini sedang memancing bersama dan secara tidak sengaja tika perbualan, tersentuh isu rasuah ini lalu membuka kepada perbualan yang lebih serius. Salah satu pengakuan dia;

"Aku bukan ape fiq, da lame aku keje dengan *(badan beruniform) ni. da macam-macam bende aku tengok. Bile aku join keje ni, aku ade niat akan cuba elak perkara macam rasuah ni. Tapi realitinya, aku memang tak boleh! Pernah sekali ade 1 envelope berisi duit atas meja aku, dalam seribu jugak la, aku terkejut gak mule-mule, aku tanye la member pejabat, die kate wang hadiah dari bos, sume dapat. Aku tolak duit tu, tapi tak lame pastu, bos aku tuka aku posting ke sabah. Baru aku paham permainan sebenar, kalo bos kau pon amik mende haram ni, ko pon kene amik sebab kalo tak amik ko sakit! kene posting la, assessment tak baik la.."

Terfikir sejenak jika saya berada di situasi yang diceritakan itu, apa yang akan saya lakukan, dan sebagainya. Dapat dilihat jelas bahawa pentingnya juga menjadi seorang pemimpin yang jujur dan amanah. Kita sebagai manusia memang sentiasa melakukan kesalahan, namun kita masih boleh berusaha mengatasinya perlahan-lahan. Dosa yang berbakul-bakul selama hayat usah ditambah selori lagi. Berusaha mengurangkan kesalahan diri berperingkat-peringkat.

Jangan salahkan sesiapa jika satu hari nanti, anak-anak kita jadi kurang ajar, tidak cemerlang dalam pelajaran, sering sakit-sakit, kereta selalu rosak, harta yang dikumpul seolah-olah tidak terasa nikmatnya, mungkin itu adalah akibat dari kita sendiri yang memberikan nafkah kepada keluarga dari sumber yang tidak halal! Maka, perlu diingat bahawa pentingnya mengamalkan cara hidup berintegriti, bebas rasuah dan mengelakkan sebarang sumber wang haram agar keluarga kita tidak sama-sama menanggung kesan atas perbuatan keji yang kita lakukan.

p/s: walaupun zakat membersihkan harta, hati yang kotor hanya dapat dibersihkan dengan taubat.




Saturday, February 26, 2011

Hormat yang kian terhakis



"Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biar buruk kain di pakai,
Asalkan mulia budi pekerti."
____________________________

Assalamualaikum W.B.T

Sejenak terfikir yang tahun saban berganti, masa semakin cepat berlalu dan yang kanak-kanak menginjak dewasa, menempuh hari baharu. Namun, sejak lahir lagi kita telah dibekalkan dengan amanah dan tanggungjawab yang terkadang dilupai kerana alpa mengejar perkara yang dasarnya lebih sia-sia.

Orang Melayu lazimnya mengajar anak-anak mereka untuk menghormati orang yang lebih tua. Perkara ini menjadi nadi kebanggaan masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sopan santun dan budi pekerti yang baik selari dengan tuntutan agama Islam yang merupakan agama rasmi Kaum Melayu.

Namun, kini kesopanan yang dibanggakan itu kian terhakis dek perubahan zaman serta pengaruh besar media yang sering memaparkan perkara negatif yang berkaitan. Tidak adil jika hanya menyalahkan media massa punca utama perkara ini berlaku kerana tercetusnya isu ini tidak lain sememangnya dari pelaku itu sendiri yang mungkin terlupa akan norma hidup di Malaysia yang menuntut kesopanan dan kesusilaan. Tanah Melayu bertuah ini yang terdiri dari pelbagai kaum seeperti cina, india dan lain-lain tetapi kesemua kaum ini semestinya ada menerapkan tatasusila kepada setiap generasi mereka.

Melalui pengamatan saya sendiri, ada kalangan generasi masa kini yang bersikap kurang sopan kepada yang lebih tua. Budaya salam & bertegur sapa dahulu kepada golongan yang lebih berusia kurang dipraktikkan malah lebih teruk, ada yang pernah saya lihat menegur golongan tua seperti kawan-kawan mereka sendiri.

Jika dahulu orang menegur tanya:

"bang...nak tumpang tanya siket boleh?"

Biasa kedengaran sekarang orang menegur tanya:

"Bro...nak tumpang tanya siket boleh bro?"

Namun ada juga yang menegur tanya:

"Der...gua nak tanya lu siket bole?"

Penggunaan bahasa Melayu yang betul mungkin sudah berubah, namun jika maksud sapaan tersebut masih bersifat hormat, maka ia boleh diterima kerana masih mengekalkan maksud yang tua dihormati. Yang muda semestinya boleh disayangi oleh yang tua jika sifat hormat diutamakan bila berhadapan dengan golongan ini.

Banyak kelebihan bila rasa hormat pada orang lain, lebih-lebih lagi pada orang yang lebih tua. Bila rasa hormat itu ditambah dengan keramahan yang berpada-pada, kesannya amat baik sekali pada jodoh, perniagaan dan hubungan sesama manusia. Maka, perlu diingatkan bahawa tegur orang lain dengan berhemah dan kekalkan nilai sopan dalam diri walaupun zaman beredar.

p/s: sekali sekala tulisan bersifat bahasa baku boleh terkenang cekgu bahasa melayu zaman sekolah dahulu. Coretan ini dedikasi khas untuk cekgu Mat Zin. Saya amat meminati seluar tinggi cekgu.


Friday, October 1, 2010

Penjelasan Isu wang sumbangan hasil judi di Pulau Pinang

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru Umno supaya tidak menakut-nakutkan warga Pulau Pinang dengan dakwaan kerajaan negeri menipu berhubung sumber kewangannya bagi membiayai program membantu golongan miskin termasuk untuk masyarakat Islam.

"Umno sepatutnya lebih ke hadapan dalam isu ini, bukannya bersikap jumud dan terkebelakang," katanya pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

"Sudahlah mereka miskin, kita persalahkan mereka. Saya nak sebut kepada rakyat Pulau Pinang tak payah susah hati. (Umno) janganlah nak takutkan orang kampung, jangan kata doa tak makbul atau (fikiran) sudah benak sebab makan dari sumber haram.

"Sekiranya semua transaksi bantuan dipersoalkan sumbernya, tidak ada lagi wang yang bukan daripada sumber haram. Setiap duit yang kita terima itu tentulah pernah digunakan untuk kegiatan lain.

"Apa yang jadi pertikaian bukanlah duit contohnya RM50 daripada hasil judi itu, tapi nilainya. Apabila diterima, nilainya adalah sumbangan daripada hasil judi, tapi bila ia disalurkan kepada orang miskin, nilainya adalah bantuan,"

Sebaliknya, Dr Mohd Asri berkata, perkara yang perlu dipertikaikan dalam isu pemberian bantuan orang miskin daripada hasil judi ialah promosi kepada syarikat judi yang menghulurkan sumbangan kepada kerajaan.

Katanya, keadaan itu boleh dilihat melalui liputan melalui media yang memperbesar-besarkan sumbangan yang diberikan oleh syarikat judi kepada kerajaan.

Cukai satu hukuman

"Kita tanggung dosa bila biarkan aktiviti judi atau lakukan tindakan seakan-akan memuliakan judi, sedangkan aktiviti seperti itu sepatutnya direndah-rendahkan.

"Promosi seperti itu juga seperti memberi galakan kepada perjudian. Saya pernah tengok (laporan) di majlis penyampaian sumbangan, ada ahli politik yang naik ke pentas terima cek besar daripada syarikat judi ini.

"Sepatutnya sumbangan ini diberikan senyap-senyap, tidak mengapa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, cukai yang dikutip daripada syarikat judi sebagai hasil kerajaan juga tidak semestinya menerima nilai judi itu sendiri.

"Sedikit sebayak, cukai yang dikenakan ke atas syarikat itu juga adalah satu bentuk hukuman kepada mereka," katanya lagi.

Dr Mohd Asri juga berkata para ulama pula kini masih berbeza pandangan sama ada hasil daripada riba yang diperolehi kerajaan adalah halal atau haram.

"Setahu saya tidak ada. Pada masa saya (jadi mufti) tidak pernah ada mesyuarat (Majlis Fatwa Kebangsaan) untuk putuskan perkara ini," katanya lagi ketika ditanya.

Nabi terima hadiah Yahudi

Tambahnya, pandangan seperti yang dikemukakan ulama terkenal antarabangsa Dr Yusuf al-Qardhawi pula menyebut, hasil daripada riba seperti perjudian itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin memandangkan nilai yang diberikan itu atas nama sumbangan.

"Bukannya ia diberikan atas nama hasil judi. Contohnya ada kawan hendak belanja kita kerana dia menang judi, tidak boleh kerana itu meraikan judi.

"Tapi kalau orang bukan Islam sekalipun belanja kita makan dan beri kita ang pau, tidak mengapa kerana dia hendak belanja," tambahnya.

Katanya lagi, Nabi Muhammad sendiri pernah menerima hadiah daripada orang Yahudi dan juga daripada pemerintah Rom.

"Buktinya, memang tidak salah jika hendak mengambil apa yang hak kita. Nabi mengambil hadiah daripada orang Yahudi walaupun nabi tahu orang Yahudi menjalankan kegiatan (ekonomi) riba dan pemerintah Rom terlibat dengan kezaliman," katanya.

Jelasnya, baginda tidak menerima nilai riba atau kezaliman tersebut tetapi nilai sumbangan berkenaan.

p/s: dipetik dari Malaysiakini.com

Wednesday, September 15, 2010

Wahai Wanita & Lelaki




"Asyik menenun awan gemawan,
Hingga terlena dibuai bayu,
Tutur kata adab dan sopan,
Menjadi nadi wanita Melayu"
_________________________________________

~Wanita~

Insan yang paling didambakan oleh sesiapa sahaja yang bergelar Lelaki. Menjadi idaman kaum Adam untuk memiliki seorang wanita yang istimewa disisi hati yang CANTIK di mata mereka dan yang SOPAN di mata mereka. Kenapa saya katakan DI MATA MEREKA? Kerana itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan bila memilih pasangan; PILIHAN HATI SENDIRI, SOPAN DAN CANTIK PADA PANDANGAN SENDIRI.Pedulikan apa kata-kata dan pandangan orang lain asalkan kita puas hati, TETAPI hanya kepada mereka yang benar-benar berfikir dengan mendalam sahaja kerana yang berfikiran sambil lewa tidak akan mengambil pusing akan kesan dan kepentingan perkara yang saya utarakan ini.

Dewasa ini kita kerap melihat betapa ghairahnya gadis-gadis yang dianugerahkan dengan rupa yang menawan, memaparkan gambar-gambar mereka di laman sosial mereka sendiri. Tidak diketahui tujuan sebenar mereka memaparkan gambar peribadi mereka, maka ABAIKAN. Yang menjadi pokok persoalan yang bermain di benak fikiran saya adalah;

'MENGAPA MEREKA MEMAPARKAN SEKALI GAMBAR YANG MENAMPAKKAN BENTUK TUBUH BADAN MEREKA?"

Tidak keterlaluan jika saya labelkan mereka ini sebagai "GALAK". Terma seperti 'Lurah', 'Belukar', 'Celah' dan macam-macam bahagian lagi sering ternampak pada gambar peribadi yang mereka paparkan di laman sosial mereka sendiri. Ya, MUNGKIN jika wanita yang cantik membaca tulisan ini, mereka akan mengatakan:

"Eh, tak perasan la wak..maaf ye, terima kasih sudi tegur" (sejuk hati dengar...)

"Yang ko kesah pasal baju ape aku pakai apekehal der? (Erk...)

"Pakwe aku pon tak bising, yang ko nak bunyik pehal?" (Hmmn...~)

Ayat ke 3 tu amat menarik kerana kita memang jarang sekali mendapati wanita yang cantik menawan mempunyai status masih SINGLE (jika ada, anda masih berpeluang mencuba~). Kenapa PAKWE@BF@BALAK macam tak kisah MAKWE@GF@AWEK mereka menayangkan bentuk atau tubuh badan dengan pakaian yang ketat atau terlalu longgar sehingga menampakkan bahagian tertentu untuk tatapan umum di laman sosial sedangkan 'pemandangan yang indah' itu adalah istimewa untuk mereka APABILA SUDAH BERNIKAH nanti? Bangga dapat kekasih cantik sampai tak kesah awek sendiri tayang body kat alam maya ke bang? selalu ke dapat pujian atau kipas macam ni bang:

"bro, awek lu memang 'baek' wa cakap lu, badan 'mari'...."

Pada hemat saya, lelaki yang bertuah memiliki hati wanita yang cantik, patutlah menegur akan kekhilafan kekasih hati mereka itu kerana rupa yang cantik itu akan bertambah cantik untuk kita jika kita menjaganya dengan penuh hikmah. Bagaimana menjaga penuh hikmah? :
  1. Nasihat berhikmah yang berterusan
  2. Didikan melalui tauladan
  3. Doa kepada kekasih
  4. Ikhlas mencintai
Didikan melalui tauladan amat berkesan kepada wanita kerana mereka amat mengagumi lelaki yang penuh kharisma dan mempunyai daya pimpinan yang mampu membuatkan mereka (kaum hawa) bertaut dan berlindung di bawah payung kasih sayang seorang lelaki (kepada pembaca wanita, betulkan jika saya tersilap).

"Wei mat, yang ko sebok na nak tulis pasal mende ni pehal? Jeles tak dapat awek cantik ke?"

"ko ni pathetic der post kat blog pasal isu ni..DESPERATE!"

"muke geek cam ko jangan arap le nak dapat awek cun"

Jika terlintas di minda pembaca ayat-ayat yang lebih kurang maksudnya dengan ayat di atas, maka ingin saya jelaskan di sini bahawa tulisan saya ini hanyalah SEKADAR PERINGATAN MESRA KEPADA WANITA CANTIK DAN KEKASIH MEREKA.TIADA UNSUR CEMBURU MELIHAT KEJAYAAN ORANG MEMILIKI AWEK CANTIK.

"Awak berhak dapat Lelaki yang lebih baik..."

Ayat ni memang biasa bagi lelaki bila melihat wanita yang cantik dimiliki oleh lelaki yang pada pandangan mereka; TAK HENSEM. Mungkin juga mereka cemburu melihat betapa bertuahnya lelaki itu.

"Balak muke langsung tak bole blah, kalo balak die jambu aku puas hati gak dorang kapel"

Wahai saudara lelakiku, JANGAN CEPAT MELATAH, mungkin anda hanya TIDAK mempunyai sesuatu ciri yang 'unik' yang ada pada lelaki yang berjaya menawan hati wanita cantik tersebut. Jangan sesekali salahkan cita rasa wanita kerana mereka hanya MEMILIH yang benar-benar BERANI TAMPIL MENYATAKAN CINTA PADA MEREKA (dengan cara yang betul dan berhemah). Oleh yang demikian, lengkapkan diri anda dengan ILMU dan keyakinan serta hiaskan lagi personaliti dengan KEIKHLASAN.

"mane bole pakai falsampah tu bro...pompuan skarang kalo ade 10 orang, 9 pandang poket tebal (duit), 1 je yang masih nak pandang hati laki..."

Benar ke macam tu senario yang berlaku sekarang wahai wanita sekalian? Terpulang pada pilihan & kebijaksanaan anda sendiri. Tersilap pilih, buruk padahnya, tetapi dengan kesilapanlah kita dapat pengalaman. Oleh yang demikian, jangan takut untuk menghadapi kesilapan. Perempuan yang memilih lelaki yang berharta juga mungkin berfikiran realistik (atau mungkin materialistik?) kerana mereka juga inginkan pelaburan atau masa depan yang terjamin.

Lelaki yang sudah mengetahui hakikat ini, jangan salahkan perempuan dengan menuduh mereka materialistik & mata duitan, sebaliknya teruskan usaha kumpulkan harta berdiri dengan kaki sendiri, jangan hanya berharap pada subsidi FAMA (father mother) sahaja.Hantaran kahwin sekarang sudah pun bernilai RM 10,000 paling KOMAN orang cakap. Pada masa sekarang mungkin itulah kadarnya, walaubagaimana pun tahun-tahun mendatang mesti semakin meningkat naik. Maka berhenti mengeluh, mulakan usaha keras memajukan ekonomi diri serta keluarga & hijrah kan sahsiah diri dari baik kepada lebih baik.

Ingatlah saudara sekalian:

"Jika sudah tertulis di Luh Mahfuz bahawa wanita itu adalah milikku, maka dialah kekasih hatiku buat selamanya..."

IKHLAS MENCINTAI DAN MENYATAKAN CINTA KEPADA WANITA.















Tuesday, July 6, 2010

Saudara seAGAMA ISLAM vs Saudara seMELAYU

"Baju bersulam sutera dewangga,
Puteri rupawan sedang diarak,
Bersikap tidak mengendahkan sahaja,
Hak melayang menang bersorak."
__________________________________

Ingin saya nyatakan di sini bahawa saya bersikap NEUTRAL dalam isu ini. Ada segelintir rakyat Malaysia bersikap tidak mengendahkan atau tidak peduli tentang gelombang cuaca politik di tanah air dewasa ini. Apa yang menjadi pokok persoalan sekarang adalah HAK setiap rakyat Malaysia yang mana mungkin mereka sendiri tidak mengetahui bahawa mereka punya hak mereka sendiri dalam pelbagai aspek tertentu seperti PENDIDIKAN, PRASARANA, MAKLUMAT & AGAMA

PENDIDIKAN di Malaysia memang tak dinafikan setanding dengan negara lain yang maju kerana sudah ramai produk baik dihasilkan TETAPI, ada beberapa perkara yang pelik berlaku, contohnya pemimpin melaungkan agar kita menyokong & percaya kepada sistem pendidikan negara NAMUN, mereka sendiri tidak menghantar anak mereka bersekolah di sekolah harian biasa malah menghantar anak mereka ke sekolah swasta atau luar negara. bila ditanya isu keselamatan diungkitkan walhal mereka juga yang mentadbir pihak berkuasa seperti POLIS, sibuk bergendang menyatakan bahawa Malaysia negara selamat tetapi bila timbul hal ini isu keselamatan pula yang dibangkitkan...Nampak KEBELITAN di situ

PRASARANA pula, masih di tahap BELUM MEMUASKAN kerana masih ada kawasan di Malaysia yang masih kurang pelbagai kemudahan. Negara pengeluar minyak antara yang termahal di dunia masih menghadapi masalah begini? bila ditanya ada KETIRISAN BERLAKU walhal yang sebenarnya berlaku adalah KEBOCORAN. Maka amat ketara sekali kelemahan pentadbiran kewangan negara sekarang.

MAKLUMAT tertentu seperti HAK RAKYAT yang didebatkan di Parlimen tidak semuanya didedahkan di dada akhbar & televisyen yang mana saya pasti 90% rakyat Malaysia lebih mendapat pendedahan sebarang maklumat berbanding di Internet. Ada persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh pihak pembangkang kerajaan yang tidak dapat dijawab dengan baik oleh pihak kerajaan dalam Parlimen NAMUN, hal yang demikian langsung tidak disiarkan di akhbar & televisyen. Ini dapat disaksikan oleh anda sendiri di Internet seperti di laman web YOUTUBE. Nampak jelas sekali ada ketidakadilan dalam mendapatkan maklumat sebenar yang patut disampaikan kepada rakyat oleh kerajaan. Adakah kerana takut pekung terbuka? tepuk dada tanya selera...

AGAMA Islam merangkumi segala-galanya di dunia termasuk POLITIK. Tetapi bila politik KOTOR menjadi nadi, bukan agama, terjadilah KETIRISAN & KEBOCORAN seperti yang berlaku sekarang di negara kita. Rakyat sudah berani MENEMPELAK, MEMAKI malah MEMFITNAH ULAMA di laman maya seperti FACEBOOK & BLOG melalui komen mereka yang berbaur perkara mazmumah yang saya utarakan tadi. Mereka yang saya kira AMAT BODOH ini sudahlah tahap pendidikan agama Islam di tahap rendah, malah mahu menempelak seorang ulama yang patut kita muliakan. Penganut agama Islam di luar negara sendiri memuliakan ulama negara kita yang mana mereka tahu HORMAT pada ilmu agama Islam yang ada pada ulama kita yang rata-rata adalah alumni Universiti Al-Azhar. Inilah yang tejadi bila negara yang mengaku negara Islam hanya pada nama sedangkan mengabaikan syiar Islam itu sendiri.

Ada yang mengatakan POLITIK ITU KOTOR. Hakikat yang sebenar adalah MANUSIA yang mengotorkan politik itu sendiri kerana politik juga adalah salah 1 cabang ilmu dalam agama Islam yang SUCI ini.

perkara yang menjadi perhatian sampai sekarang berkaitan KEBOCORAN
1.SKANDAL PKFZ
2.'KERUGIAN' FELDA
3.KERUGIAN SIME DARBY
4.KERUGIAN PERWAJA
5.KERUGIAN PROTON (SEBELUM DISELAMATKAN KERAJAAN)
6.PERJANJIAN AIR DENGAN SINGAPURA
7.PEMBERIAN 2 BLOK TELAGA MINYAK KEPADA BRUNEI
8.ada lagi? tambah sendiri......

semua kebopcoran di atas berjumlah bilion RM. Ya, BILLION!

Pokok pangkal sekarang duit rakyat yang terlibat, maka rakyat perlu tahu hal yang sebenar. Yang masih bersikap tidak mengendahkan bukalah mata anda dan ambil tahu apa hak yang patut anda dapat. Anda pembayar cukai maka anda berhak pada setiap sen dana yang dibelanjakan untuk negara.

tidak kira apa jua fahaman politik anda, jika hal yang melibatkan hak, anda patut bangun bersama menuntut...jangan mendukung biawak hidup, jangan biar orang yang tidak buat kerja mengambil duit yang sepatutnya anda dapat hasil kekayaan negara ini terutama pemimpin yang PENIPU yang sanggup MAKAN DUIT RAKYAT!

SEDAR & BANGUNLAH WAHAI SAUDARA SEAGAMAKU, BUKAN SEBAGAI SAUDARA SEMELAYU, TETAPI SEBAGAI SAUDARA SEAGAMA KERANA ITULAH YANG SEPATUTNYA MENJADI IKATAN PERJUANGAN!

Saturday, June 19, 2010

Kerana nama & pangkat atau benar-benar jihad?

Assalamualaikum...

"Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut pecah batangnya,
Hati muda jangan diturut,
Kalau diturut salah datangnya."
________________________________

Sampai masanya saya ingin mengupas 1 isu yang serius, yang dewasa kini semakin menular TANPA TUJUAN YANG BENAR & TEPAT di kalangan anak-anak muda sekarang. Pastinya pembaca ada mengetahui kewujudan kumpulan-kumpulan yang berlandaskan "BROTHERHOOD".

Sebelum itu izinkan saya menjelaskan di sini bahawa post ini ADALAH PANDANGAN & PENDAPAT SAYA SEMATA-MATA. Bukan untuk menghentam kumpulan atau ahli-ahli kumpulan tertentu (maaf jika istilah 'kumpulan' bukan istilah yang tepat).

Kumpulan ini ada yang membawa niat pertubuhan yang baik seperti; amal makruf nahi mungkar. tetapi yang menjadi isu bagi saya sendiri adalah KEGHAIRAHAN ANAK-ANAK MUDA MENYERTAI KUMPULAN SEPERTI INI TANPA HALA TUJU & NIAT YANG SALAH. saya sendiri bukanlah seorang ahli bagi mana-mana kumpulan seperti ini, namun saya agak terkilan dengan golongan yang dikatakan telah menyertai kumpulan-kumpulan ini.

Sesetengah golongan ini yang mempunyai pangkat dan yang menjadi kurang enak ialah imej mereka iaitu (bukan semua abang long begini)golongan ini saya lihat BIASA MEMAKAI GELANG & RANTAI. Saya ingin memetik tulisan Ust. Haji Kamal di dalam blog beliau tentang perkara ini:

"Al-Fadhil Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus menjelaskan bahawa hukum memakai gelang bagi lelaki adalah haram kerana ia termasuk di dalam kategori menyerupai perhiasan wanita tetapi sekiranya pemakaian gelang tersebut dengan tujuan semata-mata perubatan, ianya adalah diharuskan. Keharusan hukum itu akan terhenti setelah penggunaan gelang tersebut sebagai alat pengubatan tidak diperlukan lagi atau apabila terbukti tidak memberikan apa-apa kesan kepada kesihatan tubuh badan pengguna.

Dipetik dari laman web Edymium-Gelang Magnet, Ustaz Zamri Hashim, Ketua Penolong Mufti Negeri Perak berkata pemakaian gelang bermagnet (berharga antara RM200-RM300 seutas) yang dikatakan mempunyai unsur perubatan dan kini menjadi satu trend adalah harus sekiranya memenuhi empat syarat yang ditetapkan, iaitu :

1. pemakai gelang bermagnet itu tidak beri'tiqad bahawa ia memberi kesan kerana yang memberi kesan adalah Allah SWT.

2. tidak berniat memakai gelang berkenaan kerana menyerupai wanita.

3. bukan bertujuan untuk bermegah-megah.

4. Haram memakai gelang yang diperbuat daripada emas."

Dari pemerhatian saya, golongan ini telah menggunakan gelang & rantai terlalu lama. Perlu diingatkan, jika kita terlalu taksub dengan kebaikan gelang dan rantai tersebut, bimbang sehingga membawa kepada hukum lain seperti KHURAFAT. imej yang sedemikian juga turut mempengaruhi anak-anak buah golongan ini.

oleh hal yang demikian, tak hairanlah kita sering melihat ahli-ahli kumpulan ini sering memakai perhiasan yang saya sebut tadi dan mungkin tidak terlampau jika saya mengatakan ada antara mereka yang memakai SUBANG & BERTATU kerana hal ini benar-benar berlaku! Orang MELAYU, beragama ISLAM, MEMAKAI TATU & SUBANG.

Tidak semua kumpulan membenarkan ahli-ahlinya mempunyai imej sedemikian kerana adanya program pemulihan yang saya faham bertujuan untuk membimbing ahli kumpulan pulang ke niat sebenar kumpulan itu ditubuhkan. KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA. itulah senario yang berlaku dalam kumpulan-kumpulan seperti ini kerana ada segelintir ahli-ahli mereka tidak mengikuti niat asal kumpulan ini ditubuhkan.

Anak-anak muda sekarang pula berlumba-lumba untuk memasuki kumpulan ini, sanggup melakukan ikrar tapi melanggar pula ikrar yang dibuat selepas menjadi ahli kumpulan ini.

"ala rilex la bro, kalo gua maen pempuan ke, ape ke, bos gua mesti sep wa punye, xkan die nak bagi malu diri die kat bos besar gak"

"ala, bos gua pon maen gak, pehal lu nak sibuk-sibuk?"

mungkin inilah yang berlaku tetapi ini hanya anggapan saya sahaja, bukan tuduhan kepada ahli kumpulan ini. tapi tidak mustahil berlaku dalam situasi hidup yang sebenar. Isu utama yang berkemungkinan besar di sini ialah KEPIMPINAN TIADA TAULADAN.

tiada salahnya jika pembaca ingin menyertai kumpulan yang saya sebutkan sebentar tadi, malah saya amat menggalakkan sekiranya pembaca berniat untuk menolong saudara sebangsa seagama disamping mendidik diri sendiri menjadi seorang bangsa melayu yang taat pada suruhan agama Islam dengan menyertai kumpulan seperti ini sekiranya pembaca benar-benar yakin perjuangan dan niat yang dijunjung kumpulan ini adalah selari dengan syarak agama Islam.

Saya bukanlah ulama & bukan juga guru agama tetapi pada pendapat saya, jika ingin mentarbiah orang lain, kita kenalah mentarbiahkan diri kita terlebih dahulu. Imej & sikap perlulah selari dengan perjuangan untuk menegakkan jalan Allah yakni dengan mempunyai imej dan sikap yang baik untuk dijadikan contoh kepada anak-anak buah dan orang yang ditarbiah.

Semoga dengan tulisan ini, kita sama-sama mendapat input yang baik dan dimanfaatkan dengan dipanjang-panjangkan kepada orang lain agar menjadi peringatan walaupun tidak seberapa dari diri saya yang masih belajar dan banyak kelemahan ini. Wallahualam.