Saturday, February 26, 2011

Hormat yang kian terhakis



"Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biar buruk kain di pakai,
Asalkan mulia budi pekerti."
____________________________

Assalamualaikum W.B.T

Sejenak terfikir yang tahun saban berganti, masa semakin cepat berlalu dan yang kanak-kanak menginjak dewasa, menempuh hari baharu. Namun, sejak lahir lagi kita telah dibekalkan dengan amanah dan tanggungjawab yang terkadang dilupai kerana alpa mengejar perkara yang dasarnya lebih sia-sia.

Orang Melayu lazimnya mengajar anak-anak mereka untuk menghormati orang yang lebih tua. Perkara ini menjadi nadi kebanggaan masyarakat Melayu yang sememangnya terkenal dengan sopan santun dan budi pekerti yang baik selari dengan tuntutan agama Islam yang merupakan agama rasmi Kaum Melayu.

Namun, kini kesopanan yang dibanggakan itu kian terhakis dek perubahan zaman serta pengaruh besar media yang sering memaparkan perkara negatif yang berkaitan. Tidak adil jika hanya menyalahkan media massa punca utama perkara ini berlaku kerana tercetusnya isu ini tidak lain sememangnya dari pelaku itu sendiri yang mungkin terlupa akan norma hidup di Malaysia yang menuntut kesopanan dan kesusilaan. Tanah Melayu bertuah ini yang terdiri dari pelbagai kaum seeperti cina, india dan lain-lain tetapi kesemua kaum ini semestinya ada menerapkan tatasusila kepada setiap generasi mereka.

Melalui pengamatan saya sendiri, ada kalangan generasi masa kini yang bersikap kurang sopan kepada yang lebih tua. Budaya salam & bertegur sapa dahulu kepada golongan yang lebih berusia kurang dipraktikkan malah lebih teruk, ada yang pernah saya lihat menegur golongan tua seperti kawan-kawan mereka sendiri.

Jika dahulu orang menegur tanya:

"bang...nak tumpang tanya siket boleh?"

Biasa kedengaran sekarang orang menegur tanya:

"Bro...nak tumpang tanya siket boleh bro?"

Namun ada juga yang menegur tanya:

"Der...gua nak tanya lu siket bole?"

Penggunaan bahasa Melayu yang betul mungkin sudah berubah, namun jika maksud sapaan tersebut masih bersifat hormat, maka ia boleh diterima kerana masih mengekalkan maksud yang tua dihormati. Yang muda semestinya boleh disayangi oleh yang tua jika sifat hormat diutamakan bila berhadapan dengan golongan ini.

Banyak kelebihan bila rasa hormat pada orang lain, lebih-lebih lagi pada orang yang lebih tua. Bila rasa hormat itu ditambah dengan keramahan yang berpada-pada, kesannya amat baik sekali pada jodoh, perniagaan dan hubungan sesama manusia. Maka, perlu diingatkan bahawa tegur orang lain dengan berhemah dan kekalkan nilai sopan dalam diri walaupun zaman beredar.

p/s: sekali sekala tulisan bersifat bahasa baku boleh terkenang cekgu bahasa melayu zaman sekolah dahulu. Coretan ini dedikasi khas untuk cekgu Mat Zin. Saya amat meminati seluar tinggi cekgu.


No comments:

Post a Comment