
"Kendi berukir dari mantin,
dibawa berdagang menuju hala,
bila bidaah menjadi rutin,
yang sedia haram di buat juga"
_______________________________
Assalamualaikum W.B.T.
Pertamanya tiada tanggapan dari pihak saya bahawa yang perokok adalah orang yang tidak baik. Hakikatnya saya dikelilingi oleh rakan taulan yang sememangnya perokok dan mereka adalah orang yang baik-baik. Cuma yang menjadi kebimbangan sebagai teman adalah apabila memikirkan satu hari nanti mungkin akan melawat ahli keluarga kawan-kawan saya ini di hospital akibat menjadi perokok pasif yakni; mereka yang menghidu asap yang dihembus oleh perokok itu.
Sebetulnya bapa saya juga adalah seorang perokok, namun mungkin oleh sebab kata-kata ibu saya membuatkan dia mengalah dan terus berhenti merokok semenjak saya berumur 9 tahun lagi (tidak diketahui pula jika dia merokok di belakang kami senyap-senyap). Ketika saya di sekolah menengah dan tinggal di asrama, bapa awal-awal lagi sudah memberi amaran;
"Kalau aku dengar kau hisap rokok kat sekolah, balik rumah mampus aku kerjakan."
Bila berbapakan seorang bapa yang merupakan seorang askar, memang tidak lari dengan rejim hidup penuh disiplin dan ketegasan. Namun kata-kata di atas yang mungkin kasar pada kebanyakan orang adalah kasih sayang dan prihatin pada saya kerana saya dibesarkan dengan kata-kata seperti ini sewaktu kecil dan kata-kata itu telah berjaya membuatkan saya menjadi seorang yang boleh diharapkan malah memang tidak pernah menghisap rokok!
Orang yang merokok biasanya lebih lama hidup dari yang tidak menghisap rokok. Perokok pasif pula berisiko 3 kali ganda untuk mendapat penyakit kanser berbanding perokok tegar! Mengikut banyak penyelidikan, asap yang dihirup oleh perokok pasif mengandungi dua kali ganda nikotin, tiga kali ganda tar, lima kali ganda karbon monoksida dan 50 kali ganda kimia berbahaya berbanding yang disedut perokok aktif. Kelebihan buat si perokok namun berita malang bagi yang bukan merokok.
Pernah saya menanyakan kepada seorang teman bila dia akan berhenti merokok, jawapannya membuatkan saya tersengih pula;
"sekarang memang aku da benti isap rokok, tapi pas ko blah ni aku sambung la."
Ada sekali bila lepak bersama teman-teman, ada yang membawa teman wanita masing-masing, tanpa segan silu merokok depan teman wanita mereka yang dari tadi selamba je walhal saya sendiri tidak tahan dengan bau asap rokok itu. Terdetik pula dalam hati saya;
"Nasib koranglah labu dapat pakwe heavy smoker, gamaknye kalo kawen, sampai tua la ko hidup sedut asap ni."
Jika anda diluar sana mempunyai pengalaman yang sama, jangan berhenti nasihat dan berdoa agar teman-teman anda akan berhenti merokok satu hari nanti. Dosa berbakul usah ditambah berbakul-bakul lagi. Jika tidak sayangkan nyawa, ingatlah orang yang sayangkan diri anda. Bukan sahaja duit tidak terbazir, kesihatan juga semakin meningkat setelah berhenti merokok.
Anda masih punya hati, maka jangan biarkan orang disekeliling menanggung akibat asap rokok yang anda hembus.
p/s: mudah menasihati mereka yang merokok dari menasihati mereka yang kuat mabuk.

