Tuesday, June 14, 2011

Ambil salah, tak ambil, sakit!



"Pergi memburu sampai ke sempadan,
dapat kancil badan berjalur,
biar carik baju di badan,
asalkan hati bersih dan jujur."

_____________________________________

Assalamualaikum W.B.T.

Sepertinya sekarang ini adalah musim rasuah dimana sering terpapar di dada media perdana akan berita mengenai perilaku keji ini di pelbagai lapangan bidang seperti sukan, politik, pekerjaan dan lain-lain yang boleh dianggap satu kanser yang semakin sinonim dengan masyarakat Malaysia. Banyak buah fikiran yang dilontarkan oleh pemikir-pemikir mengenai mengapa berlakunya gejala ini di kalangan rakyat Malaysia yang kadang kala kita lihat tidak logik kerana ada penerima rasuah adalah dari golongan yang berpendapatan tinggi!

Pada hemat saya, gejala ini berpunca dari kurangnya sifat integriti diri dan mungkin juga kejahilan diri tentang ilmu agama. Namun ada juga faktor lain yang benar-benar memeranjatkan saya apabila diberitahu sendiri oleh seorang kenalan yang pernah terlibat dalam gejala ini. Sebetulnya, saya dan kenalan ini sedang memancing bersama dan secara tidak sengaja tika perbualan, tersentuh isu rasuah ini lalu membuka kepada perbualan yang lebih serius. Salah satu pengakuan dia;

"Aku bukan ape fiq, da lame aku keje dengan *(badan beruniform) ni. da macam-macam bende aku tengok. Bile aku join keje ni, aku ade niat akan cuba elak perkara macam rasuah ni. Tapi realitinya, aku memang tak boleh! Pernah sekali ade 1 envelope berisi duit atas meja aku, dalam seribu jugak la, aku terkejut gak mule-mule, aku tanye la member pejabat, die kate wang hadiah dari bos, sume dapat. Aku tolak duit tu, tapi tak lame pastu, bos aku tuka aku posting ke sabah. Baru aku paham permainan sebenar, kalo bos kau pon amik mende haram ni, ko pon kene amik sebab kalo tak amik ko sakit! kene posting la, assessment tak baik la.."

Terfikir sejenak jika saya berada di situasi yang diceritakan itu, apa yang akan saya lakukan, dan sebagainya. Dapat dilihat jelas bahawa pentingnya juga menjadi seorang pemimpin yang jujur dan amanah. Kita sebagai manusia memang sentiasa melakukan kesalahan, namun kita masih boleh berusaha mengatasinya perlahan-lahan. Dosa yang berbakul-bakul selama hayat usah ditambah selori lagi. Berusaha mengurangkan kesalahan diri berperingkat-peringkat.

Jangan salahkan sesiapa jika satu hari nanti, anak-anak kita jadi kurang ajar, tidak cemerlang dalam pelajaran, sering sakit-sakit, kereta selalu rosak, harta yang dikumpul seolah-olah tidak terasa nikmatnya, mungkin itu adalah akibat dari kita sendiri yang memberikan nafkah kepada keluarga dari sumber yang tidak halal! Maka, perlu diingat bahawa pentingnya mengamalkan cara hidup berintegriti, bebas rasuah dan mengelakkan sebarang sumber wang haram agar keluarga kita tidak sama-sama menanggung kesan atas perbuatan keji yang kita lakukan.

p/s: walaupun zakat membersihkan harta, hati yang kotor hanya dapat dibersihkan dengan taubat.




No comments:

Post a Comment